Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Thursday, 12 December 2013

Jodoh Itu Rahsia Allah



Janji Allah itu pasti. Dia akan berikan apa yang kita minta tepat pada masanya.

Pada satu petang, aku kesunyian tinggal seorang diri di dalam rumah. Ku capai laptop dan online facebook. Ada seseorang yang seperti pernah aku jumpa sebelum ini ingin berkenalan denganku. Setelah lama ku renung nampak seperti kawan lama sekolahku. Lalu aku ‘approve’ dia sebagai kawan.

Tak lama kemudian dia menyapa di ruangan chat. Memandangkan sendirian aku melayan ‘kawan lama’ itu berbual. Apabila tiba waktu maghrib dia meminta izin untuk solat dahulu. Dalam hatiku terdetik, bagusnya ‘kawanku’ ini. Usai solat kami sambung berbual. Dengan perencanaan Allah, kami ada ‘reunion’ dua hari selepas berbual di fb. Entah kenapa hatiku teruja untuk pergi ke ‘reunion’ sedangkan waktu itu kawan yang menguruskan ‘reunion’ bukanlah kawan rapatku. Aku sms beberapa kenalan rapat mengajak pergi ke ‘reunion’tapi tiada seorang pun yang bersetuju. Masing-masing ada urusan petang itu. Dengan perasaan hampa, aku tidur.

Dalam hatiku tertanya-tanya kenapa aku begitu teringin pergi ‘reunion’ seperti ada magnet yang menarik. Lewat petang itu, aku terima sms yang mengajak aku pergi ke ‘reunion’. Dengan perasaan gembira aku bersiap ala kadar untuk berjumpa kawan lama di warung ABC. Kawan-kawanku sibuk menceritakan persiapan mereka untuk mendirikan rumahtangga, aku diam seribu bahasa. Aku tiada perancangan untuk berkahwin apatah lagi teman istimewa pun aku tiada.

Hampir waktu maghrib aku tiba di rumah. Malam itu aku online fb seperti biasa. ‘Kawan lama’ tegur aku dan bertanya kenapa diam sahaja ketika ‘reunion’ tadi. Setelah berbual, dia bertanya akan statusku…. dengan tenang aku menjawab masih ‘single’.

‘Kawan lama’ terus melamar aku untuk menjadi teman istimewanya. Aku terkesima. Berbekalkan gerak hati, aku bersetuju dengan syarat dia boleh terima diriku seadanya dan tidak berjumpa berdua-duaan. Aku teringat kata-kata seorang senior dalam usrah ketika zaman belajar dahulu agar jaga batas pergaulan ketika couplekerana ia akan mencorakkan sedikit sebanyak akhlak anak kita nanti. Seseorang itu dibentuk dan dididik sejak zaman percintaan ibu bapanya lagi.

‘Kawan lama’ juga bersetuju dengan syarat yang telah aku berikan..

Sebelum tidur, aku terfikir betulkah tindakan yang aku lakukan ini? Dengan doa istikharah aku mohon diberikan petunjuk. Keesokkan harinya aku bangun tidur dan hatiku tenang. Kukira inilah jawapan Allah.

Aku minta pada ‘kawan lama’ supaya minta izin ibu bapanya sebelum meneruskan niat untuk mengenaliku lebih dalam… begitu juga dengan diriku. Setelah kedua belah pihak memberi restu kami teruskan proses perkenalan ini. Semuanya berjalan dengan lancar.

‘No dating’ walaupun rumah kami hanya dua minit. Tapi aku tidak kenal di mana sebenarnya rumah ‘kawan lama’ aku walaupun kami sekampung. Aku berkongsi mutiara kata dan email-email menarik untuk kami jadikan motivasi dan panduan dalam hidup.

Hampir setahun berkenalan, kami mengambil keputusan untuk mengakhiri perkenalan ini dengan ikatan yang sah. Aku tidak impikan majlis pertunangan, cukup sekadar ibunya menghantar sebentuk cincin sebagai tanda. Dalam tempoh 4 bulan bertunang, kami diuji.

Tanggal 2 Jun kami sah sebagai suami dan isteri. Paling tidak disangka, rumah yang pernah aku tumpang untuk reverse kereta dulu adalah rumah suamiku. Waktu reverse kereta hatiku terdetik kalaulah rumah ini buat kenduri mesti senang kerana kawasannya yang lapang.

Kini dia menjadi suamiku dan kami dikurniakan seorang puteri penyeri rumahtangga kami. Alhamdulillah kami bahagia meskipun diuji dengan tinggal berasingan dan hanya berjumpa di hujung minggu.

‘Kawan lama’ ini sebenarnya adalah rakan sekelas sejak darjah 1.




Allah Maha Besar, ‘kawan lama’ ingat aku disebabkan pernah dimarahi ketika darjah 1 dulu. Bila aku fikir kembali, begitu cantik aturan Allah. Kita merancang, Dia juga merancang tetapi yang terbaik itu dari Dia.

Ada rahsia di sebalik rahsia yang tidak kita ketahui. Berdoa dan bergantung haraplah kepada Allah kerana Dia Lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya dan bilakah masa yang sesuai.

Saturday, 20 July 2013

Hakikat Sebuah Kejayaan

Kerjaya dalam bidang pendidikan menyaksikan sedikit kecenderungan manusia mengejar sesebuah kejayaan yang satu. Dalam dunia bergelar siswa dan siswi, PNGK 4.0 menjadi kayu ukur manusia yang paling berjaya. Kegigihan mereka yang inginkan kejayaan terserlah dengan kegigihan mereka bersusah payah datang setiap hari berjumpa pensyarah untuk bertanyalan soalan.

Keadaan ini sungguh menyentuh hati. Terkadang meningkatkan semangat pensyarah untuk terus memberikan seberapa banyak ilmunya sehingga di saat akhir. Akhirnya pelajar sebegini akan mendapat apa yang diimpikannya. Tempiasnya kepada pensyarah yang mengajar mereka. Tersenyum lebar dan puas atas penat lelah melayan karenah pelajar sebelumnya. Ini juga sebuah kejayaan bagi seorang pensyarah.

Itulah kejayaan pada manusia. Berjaya mengejar cita-cita. Berjaya mendapatkan kereta idaman. Berjaya menambat hati orang tersayang. Berjaya mengumpul harta.



Kejayaan demi kejayaan ditempuhi manusia menjadikannya puas dan bahagia. Bahagia kerana kejayaan ini diperolehi hasil titik peluh dan penat jerih dalam masa-masa tertentu. Kecenderungan kepada nilai material dan angka yang besar menjadi kayu ukur untuk berjaya. Markah yang tinggi, anak yang ramai dan harta yang banyak.


Hakikat Kejayaan
Namun hakikiat kejayaan itu bersifat subjektif. Membawa pengertian yang sangat besar. Allah SWT Maha Adil. Setiap manusia dijadikan dengan fungsi untuk mencapai kejayaan tersendiri. Dalam bidang yang berlainan dan pelbagai. Tiada yang sia-sia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:-


“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Surah al-Mukminun: Ayat 115)

Tiada manusia yang lahir tanpa makna. Tiada manusia lahir sia-sia. Biarpun seorang tukang sapu. Betapa bermaknanya mereka. Jika mereka tiada, seluruh tempat akan menjadi kotor. Maka tukang sapu telah berjaya menjadikan banyak tempat bersih. Itulah kajayaannya. Tahniah kepada tukang sapu!

Semuanya punya fungsi untuk mencapai objektif masing-masing.


Kejayan Menurut Al-Quran
Kejayaan tercipta setiap hari. Apabila ada yang telah berazam dan memulakan hari yang baru, matlamat yang baru, kejayaan yang baru juga bakal muncul. Setelah berjaya, manusia akan mengimpikan kejayaan lain berdasarkan matlamat yang hendak dicapai. Islam juga menetapkan hakikat kejayaan bagi seorang mukmin melalui sepertimana yang telah diungkapkan oleh Allah SWT dalam kalam suci Al-Quran surah Al-Mukminun ayat 1-11:

  1. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,
  2. (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya,
  3. dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
  4. dan orang-orang yang menunaikan zakat,
  5. dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,
  6. terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa.
  7. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
  8. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.
  9. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.
  10. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,
  11. (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Jelas dalam ayat ini menerangkan hakikat sebenar kejayaan. Iaitu mereka yang akan mewarisi syurga Allah dan kekal di dalamnya. Kerana dunia hanya akan kita rasakan umpama satu kerdipan mata ketika di padang mahsyar kelak. Maka ramailah yang akan tahu betapa mereka telah tertipu dengan kejayaan yang mereka kejar semasa di dunia.

Sememangnya beruntunglah mereka yang mengutamakankan urusan akhirat dalam segala hal. Beruntunglah mereka yang sentiasa mengaitkan kehidupannya dengan dunia yang kekal abadi. Manusia yang selalu lupa akan hakikat ini seringkali akan menyangka semua kejayaan yang dimiliki akan kekal… padahal mereka masih lagi di dunia… sedangkan dunia itu pula bersifat fana (hancur).


Kejayaan Bukan Hanya Dalam Pelajaran
Ternyata, tidak semestinya mereka yang berjaya memperoleh markah yang tinggi dianggap berjaya. Tidak semestinya mereka yang sememangnya genius akan sentiasa mendapat tempat dalam pelajaran. Tetapi mereka yang berjaya adalah seorang yang sentiasa mampu bertahan (survive) dengan persikitaran mereka. Mempunyai prinsip hidup yang tetap dan benar. Mampu menongkah arus yang kadangkala menyongsang arah perjuangan.

Maka, tiada istilah putus asa untuk mereka yang tidak hebat dalam pelajaran… tiada kata malas untuk mereka yang agak lambat dalam menuntut ilmu. Tiada kata rendah hati untuk mereka yang sering ketinggalan. Kerana di hadapan mereka terbentang luas pelbagai jenis kejayaan. Yang menjadikan mereka pelbagai manusia yang berjaya dalam bidangnya.

Percayalah, rahmat Allah itu luas dan Allah sesekali tidak suka orang yang berputus asa. Walaupun kadangkala hambaNya itu melampaui batas.

Firman Allah yang bermaksud:-

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah Az-Azumar : Ayat 53)

Monday, 15 July 2013

Bawalah Roh Ramadhan Itu Hari-Hari!

Semasa Ramadan

“Eh Joyah, kau nak tahu tak? Semalam aku nampak tok imam pergi mengendap rumah janda tua tu. Entah apa yang di… Eh, Astaghfirullah. Sekarang bulan puasa lah, bulan puasa tak baik mengumpat. Tak apalah, aku balik dulu. Dah nak berbuka, nasi pun belum ditanak lagi.”

“Apa adik ni, janganlah sentuh laptop abang. Habis ‘download’ tazkirah Ramadan abang terbatal. Terpaksa abang ‘download’ balik. Nasib bulan puasa. Kalau tak, siaplah…”

“Ish, banyak lagi juzuk yang belum dibaca. Kena ekspres sikit ni. Sekarang dah dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan.”

Selepas Ramadan

“Ya Allah Joyah, kau tahu tak semalam aku nampak siapa dengan janda tua tu? Haa, tok imam itulah. Nampak macam anak janda tua tu sakit, mulalah tok imam menggatal nak menolong. Dasar orang tua tak sedar diri..”

“Itulah, siapa suruh sentuh laptop abang. Berapa kali dah abang cakap, tak nak dengar. Padanlah muka kena penampar dua kali..”

“Em, malas pula rasa mengaji hari ni. Baca satu muka surat sehelai sahaja cukuplah. Lagipun dah cover baca banyak-banyak waktu Ramadan kan. Rehatlah pulak..”



Hebatnya POWER of Ramadan

POWER bukan sebarang power, POWER ada makna di sebaliknya.


P stands for Platform

Apabila tiba sahaja Ramadan, kebiasaannya kata-kata atau ucapan seperti “aku mahu Ramadan kali ini lebih baik” dan “moga Ramadan kali ini lebih terisi dengan ibadah berbanding Ramadan sebelumnya” yang kedengaran. Tiada terdengar ada yang berharap “moga Ramadan pada tahun ini lebih buruk”.

Kerana apa? Kerana Ramadan salah satu platform untuk menjadikan diri seseorang itu ke arah menjadi yang lebih baik.


A platform to be a better person!

Dan kerana itu saat tiba sahaja Ramadan, kita semua mula mempersiapkan diri bersama senarai what-to-do-in-Ramadan. Pada bulan yang lain ada? Mungkin ada namun jarang dan kurang kesungguhan.


O stands for Opportunity

Opportunity bermaksud peluang. Ramadan membuka banyak peluang. Peluang menjadi hamba yang lebih baik dan peluang untuk menambahkan amalan serta meraih segala fadhilat yang tersedia. Andai sebelum ini bukanlah satu kebiasaan solat berjemaah di masjid maka pada bulan Ramadan rajin menjejakkan kaki ke masjid untuk solat terawih. Bukan 8 rakaat malah 20 rakaat. Tambahan, tiada satu hari yang ketinggalan.

Ramadan juga membuka peluang untuk mengajak tadarus Al-Quran bersama-sama. Ramadan membuka peluang meningkatkan lagi status ajakan terhadap kebaikan di Facebook. Ramadan membuka peluang meraih keampunan Allah dengan Lailatul Qadr.


W stand for Wish

Wish membawa maksud keinginan atau harapan. Pada bulan Ramadan ini begitu ramai yang terlihat memasang keinginan dan harapan. Harapan supaya dapat menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dengan jayanya. Harapan supaya mulut terjaga daripada umpatan dan cacian. Harapan supaya lebih rajin mendirikan qiamullail.

Seribu satu harapan tertulis di minda.


E stands for Encouragement

Bulan Ramadan bulan galakan dan dorongan. Terasa ada satu semangat baru dalam diri terutama pada saat awal kedatangannya. Semangat begitu berkobar-kobar agar hari-hari yang dilalui dalam bulan ini diisi dengan pengisian yang bermanfaat. Diri terdorong untuk berazam agar hari-hari pada bulan ini penuh dengan ibadah yang terancang.

Galakan dan dorongan untuk melakukan pembaharuan dalam diri terutama.


R stands for Reckon

Reckon membawa maksud menghitung. ‘Self-reckoning’ bermakna muhasabah diri. Menghisab dan memuhasabahkan diri sendiri. Bulan Ramadan bulan yang sesuai dirasakan untuk lebih merenung kekhilafan dalam diri. Banyak manakah amalan selama ini? Bagaimanakah hubungan dengan Allah? Bagaimanakah pula akhlak terhadap manusia selama ini?

Sejauh mana bisa mengawal marah? Sejauh mana bisa mendidik hati menjadi seorang yang pemurah memberi dan berkongsi? Sejauh mana percakapan dihalakan kepada perkara-perkara yang positif?

Kerana itu ada yang muhasabah pada bulan Ramadan membawa kepada keputusan untuk istiqamah menutup aurat dengan sempurna walaupun selepas berlalunya Ramadan. Alhamdulillah.

Hebatnya Ramadan mendidik peribadi. Hebatnya Ramadan menghembus semangat dalam diri. Hebatnya Ramadan bisa mengetuk pintu hati insani melakukan pengislahan atau pembaikan terhadap diri. Benarlah Ramadan itu madrasah diri, tarbiyah hati.

Bekalan sepanjang tahun

Namun, kita bukan mahu hanya hebat beribadah pada roh bulan Ramadan yang hebat. Kita mahu membawa tarbiyah dari bulan Ramadan untuk tetap dijadikan bekalan pada bulan-bulan mendatang.

Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar untuk tidak mengumpat maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.

Jika pada bulan Ramadan sedayanya belajar menggagahkan diri untuk bangun malam maka begitu juga yang akan diusahakan selepas Ramadan.

Jika pada bulan Ramadan sedayanya cuba mengkhatamkan Al-Quran maka begitu juga yang akan diusahakan malah lebih baik lagi bersama tadabbur.

Kita mahu Ramadan hebat begitu maka pada bulan-bulan selepasnya juga begitu. Kita bukan mahu roh ibadah pada bulan Ramadan sahaja tetapi kita juga mahu roh ibadah itu pada bulan-bulan selepasnya. Ibadah, kebaikan, akhlak bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi mesti diusahakan terlaksana hari-hari jua.

Wahai hamba, bawalah roh Ramadan itu hari-hari. Kerana kita bukan hamba Ramadan tetapi hari-hari kita merupakan hamba Ilahi!

Amalan Mulia di Bulan Ramadhan

Enam hari dari bulan Ramadan sudah pun berlalu. Sudahkah kita maksimalkan untuk memanfaatkan bulan yang lebih mulia dari sebelas bulan lainnya? Sungguh sangat merugi bagi yang menyia-nyiakan bulan Ramadan.

Dalam sebuah riwayat, Allah Ta’ala menciptakan waktu-waktu istimewa dalam skala waktu yang tertentu. Dalam satu hari, ada waktu yang diistimewakan oleh Allah iaitu sepertiga malam yang terakhir.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud:-

“Rabb kita tabaroka wa ta’ala turun setiap malam ke langit dunia hingga tersisa sepertiga malam terakhir, lalu Dia berkata: ‘Siapa yang berdoa pada-Ku, aku akan memperkenankan doanya. Siapa yang meminta pada-Ku, pasti akan Kuberi. Dan siapa yang meminta ampun pada-Ku, pasti akan Ku ampuni’.” 
(Riwayat Bukhari no. 6321 dan Muslim no. 758)

Dalam satu minggu ada waktu yang diistimewakan Allah Ta’ala, iaitu hari Jumaat. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabada:-

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jum’at; pada hari ini Adam as diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari ini pula ia dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” 
(Riwayat Muslim, no. 854)

Dalam satu bulan pun ada beberapa hari yang diistimewakan Allah Ta’ala, iaitu tiga hari (15, 16, 17) setiap bulannya. Didalamnya kita disunnahkan untuk berpuasa. Dari Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Puasalah tiga hari dari setiap bulan. Sesungguhnya amal kebajikan itu ganjarannya sepuluh kali lipat, seolah ia seperti berpuasa sepanjang masa.” 
(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan an Nasai)

Terakhir adalah kelipatan setiap tahun. Dalam satu tahun ada satu bulan yang dimuliakan Allah Ta’ala. Didalamnya diturunkan Al-Quran untuk pertama kalinya. Di dalamnya pintu Syurga dibuka dan pintu Neraka ditutup. Didalamnya segala amal ibadah akan dilipatgandakan. Di dalamya jika kita panjatkan, maka akan diijabah. Tiada lain bulan tersebut adalah bulan Ramadan. Ya bulan yang kini kita sedang rasakan.

Sungguh beruntung bagi kita yang diberikan kesempatan untuk beribadah di dalam bulan Ramadan. Dalam sebuah riwayat, bahwa salah satu pintu surga ada yang bernama Ar-Rayan. Dalam hadist lain Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan karena iman dan mengharapkan pahala Allah maka diampuni dosanya yang terdahulu.”
(Riwayat Bukhari)

Dan pintu tersebut dikhususkan untuk orang- orang yang berpuasa. Selain itu, sesuai dengan akhir firman Allahla’allakum tattaquun. Sehingga hasil akhir dari puasa adalah meraih gelar taqwa. Semoga.

Ramadan seakan menjadi sarana yang paling isitmewa untuk menjadikan diri kita termasuk dari orang-orang yang bertaqwa. Bagaimana tidak? Hari demi harinya, jam demi jamnya, minit demi minitnya, detik demi detiknya menjadi waktu yang sangat istimewa dan sangat merugi kija kita lewatkan. Begitupun dengan Nabi dan para sahabatnya. Mereka tidak pernah melakukan di bulan Ramadan, kecuali amalan ibadah kepada Allah Ta’ala.

Kecintaan mereka terbukti dari kesedihan mereka ketika akan berpisah dengan bulan Ramadan. Seakan mereka ingin setiap bulan itu adalah bulan Ramadan. Selain itu terbukti dari do’a yang mereka amalkan ‘Allahumma baarik lanaa Rajaaba wa Sya’baana wa ballighnaa Ramadhan.’ Makna dari doa tersebut tiada lain adalah rasa harap akan jumpa dengan bulan Ramadan.

Di antara amalan Rasulullah pada bulan Ramadan sebagai berikut:-


1. Solat Tarawih

Tidak jauh berbeda dengan solat malam yang kita laksanakan di luar bulan Ramadhan. Perbezaannya mungkin hanya dalam pengamalannya, iaitu berjama’ah. Rasulullah SAW bersabda:-

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan (shalat tarawih) atas dasar iman dan kesucian, diampuni segala dosanya yang terdahulu” 
(Riwayat Bukhari)

Selain solat sunat tarawih berjama’ah, juga biasanya dilasanakan setelah shalat Isya berjama’ah.



2. Membaca Al-Quran dan terjemahannya

Allah berfirman yang bermaksud:-

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).” 
(Surah Al-Baqarah ayat 185)

Maka sayugianya kita memanfaatkan waktu kita di bulan Ramadan dengan membaca Al-Quran. Dalam sebuah hadist bahawa pahala setiap huruf Al-Quran yang kita baca adalah sepuluh.

Apalagi di bulan Ramadan yang penuh berkah, tentunya akan dilipat gandakan beberapa lipat. Selain itu jiwa dan hati mereka yang mengamalkan akan selalu dalam keadaan tenang. Rasulullah SAW bersabda:-

“Orang-orang yang berkumpul dalam masjid dan mereka membaca Al-Quran dan mempelajarinya bersama-sama, maka kepada mereka aan diturukan ketenengan jiwa, dilimpahkan rahmat, dikelilingi malaikat dab nereja disebut-sebut Allah di antara orang sekitarnya..” 
(Riwayat Bukhari)


3. I’tikaf di Masjid

Sebuah kegiatan yang dilaksanakan di dalam masjid. Kegiatan ini diisi dengan beberapa amalan ibadah lainnya, seperti tilawah Al-Quran, dzikir, mendirikan shalat sunnah dan lain sebagainya. Dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW selalu melaksanakan I’tikaf. Apalagi di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Hal tersebut terlihat dari sebuah hadist yang diriwayatkan dari ‘Aisyah ra. bahwa Rasulullah SAW ketika menyisir, beliau hanya mengeluarkan kepalanya saja agar bisa disisirkan oleh isterinya. Sedangkan badannya masih ada di dalam masjid agar tetap dalam keadaan I’tikaf.

4. Shadaqah

Shadaqah juga merupakan salah satu amalan mulia yang sangat-sangat digalakkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Shadaqah yang paling utama (afdhal)adalah shadaqah di bulan Ramadan.” 
(HR Tirmizi)

Dalam hadist tersebut sudah jelas makna dan apa yang harus kita lakukan. Jika seperti itu, pasti di balik amalan ibadah tersebut ada pahala yang berlipat-lipat. Jadi tidak aneh lagi jika di bulan Ramadan ini, dengan mudah kita dapati orang-orang baik yang mengeluarkan hartanya untuk sedekah.


Mungkin tak usah jauh kita ke Indonesia. Di sekitar kita, khususnya di masjid-masjid, baik besar atau pun kecil akan menyediakan ma’idatu Rohman (Hidangan kasih sayang). Di jalan-jalan pun demikian. Tidak sedikit orang-orang Mesir, ketika mendekati waktu maghrib mereka bersiap di sisi jalan untuk memberikan makanan atau minuman kepada mereka yang berada dalam perjalanan (kenderaan). Serta tidak jarang, di antara kita (masisir) ada yang mendapatkan daging firah setiap hari untuk buka puasa.

Hal tersebut tiada lain, sebuah rasa sadar terhadap keberkahan Ramadan. Mereka benar-benar tak ingin tertinggalkan keberkahan bulan tersebut. Kerana mereka tahu, tidak ada jaminan untuk tahun depan kembali lagi bertemu dengan bulan suci Ramadan.

Semoga dengan mengamalkan amalan-amalan ibadah di atas dan amalan yang lainnya, kita termasuk orang-orang yang mendapatkan tujuan puasa tersebut. La’allakum tattaquun, iaitu predikat bertaqwa. Allah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa di antara kamu” 
(Surah Al-Hujurat ayat 13)

Ketika kita bertaqwa, kita pun akan menjadi orang yang paling mulia di hadapan Allah Ta’ala. Kita lihat seseorang yang dimuliakan oleh orang tuanya. Mereka diberi sebelum meminta, kebutuhannya selalu terpenuhi, hari-harinya tak lepas dari kasih sayang, selalu dilindungi. Itu mulia di hadapan manusia, apalagi di hadapan Allah Ta’ala?

Monday, 8 July 2013

Kita Bukan Lemah

Buta lagi miskin. Jauh dia berjalan menempuh laluan berliku yang tidak dapat dilihat pun oleh matanya. Bersungguh dan gagah kakinya melangkah ke teratak ilmu Nabi Muhammad S.A.W untuk bertemu baginda. Niat dihatinya ingin menuntut ilmu tentang Islam.

Namun, baginda begitu khusyuk melayani pembesar Quraisy yang ingin mendalami Islam sehingga tidak mengendahkan kehadirannya di majlis tersebut. Malah, ketika terlihat kelibat Abdullah, Rasulullah S.A.W menarik muka masam dan berpaling daripadanya. Kecacatan Abdullah membuatkan Rasulullah S.A.W tidak yakin akan kemampuannya. Merasa dirinya tersisih, dia mundur. Sedih kerana langsung tidak diendahkan oleh Rasulullah S.A.W.


Elak Pandang Rendah

Maka turunlah firman Allah yang menegur tegas sikap Rasulullah yang tidak mengendahkan seseorang yang kurang upaya seperti Abdullah, yang disebut dalam kitab Allah yang Agung:


“Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling, kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang bermanfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy), maka engkau (Muhammad) memberi perhatian kepadanya, padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia takut (kepada Allah), engkau (Muhammad) malah mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sungguh (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan”. (‘Abasa: 1-11)

Sejak mendapat teguran ini, Rasulullah sedar akan kesilapannya dan mula melayani dan memenuhi segala keperluan Abdullah setiap kali dia bertandang.

Kekurangan yang kita miliki kadang-kala membuatkan kita tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri dan terasa kita seolah-olah disisihkan oleh masyarakat. Tanpa mencuba kita terus membuat spekulasi bahawa kita seorang yang lemah. Pernahkah anda merasakan diri anda seorang yang lemah? Semestinya. Anda akan mengalami perasaan ini jika anda seorang manusia yang normal.



Sedih Bukan Sebab Untuk Menjadi Lemah

Saya juga pernah merasakan yang demikian disaat saya kecewa dan sedih. Tetapi itu bukan alasan untuk saya menjadi lemah, malah itulah punca saya menjadi lebih kuat untuk menghadapi dugaan-dugaan mendatang. Allah menciptakan kita dengan kekuatan dan kelemahan kita masing-masing. Disaat Allah memberikan kita kelemahan, disitulah Allah sisipkan kekuatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mencari kekuatan itu. Ada. Saya pasti ia ada dalam setiap seorang yang bergelar manusia.

Tatkala kita merasa sedih, jangan takut. Merasa sedih itu biasa. Jika ada manusia yang tidak pernah merasa sedih, maka dia bukan manusia. Sedangkan Rasulullah S.A.W juga pernah merasa sedih yang amat ketika kehilangan datuk dan isteri kesayangannya. Baginda juga pernah berasa tidak mampu menanggung beban sehingga pergi memencilkan diri buat sementara waktu semata-mata untuk mengembalikan keyakinan hidup baginda. Inikan kita cuma insan biasa, yang tidak pun maksum, malah sering kali bergelumang dengan dosa, merasa sedih itu patut ada dalam diri kita.

Betul. Sedih dan merasa lemah adalah dua perkara yang berbeza tetapi mereka amat berkait antara satu sama lain. Kerana kita merasa kecewa, kita akan bersedih. Bersedih terlalu lama dan enggan bangun dari kekecewaan yang kita alami, maka kita akan menjadi lemah. Lemah di sini merujuk kepada perasaan yang tidak yakin terhadap kemampuan diri sendiri. Kita sering kali merasa rendah diri dan merasa diri kita kurang daripada orang lain.

Kita merasakan kita tidak mampu menjadi manusia yang dapat menandingi manusia yang lain. Tidak. Manusia lain juga tidak hebat. Mereka tidak lahir dan terus menjadi hebat. Mereka berusaha untuk menjadi hebat. Jadi kenapa kita harus berfikir kita lemah dari manusia lain? Mereka juga manusia seperti kita, mempunyai kebolehan berfikir dan berdikari yang sama untuk memajukan taraf hidup masing-masing.

Pasti banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini membuat kita bersedih dan kecewa. Satu perkara yang kita tahu sejak azali lagi, bersedih bukan bermakna kita lemah. Titisnya setiap airmata bukan bermaksud kita lemah. Allah jadikan setiap airmata itu dengan seribu satu kekuatan dan hikmah yang besar. Jadi jangan sesekali kita menangis untuk benda yang sia-sia.


Kita hidup bukan untuk mengejar kesempurnaan hidup. Kita hidup untuk menyempurnakan aspek kehidupan kita di akhirat kelak. Duit yang banyak dan syarikat yang berjaya bukan matlamat kita. Kenapa kita harus bersedih atas kehilangan benda-benda sebegitu?

Sering kali terdengar ungkapan ini sama ada di kaca televisyen atau dunia realiti “Saya hanya manusia biasa yang lemah, tidak mampu berbuat apa-apa selain pasrah dengan setiap ketentuan Allah.” Salah! Sangat salah untuk kita berpegang pada kata-kata ini.

Pasrah vs Redha

Pasrah itu berbeza dengan redha. Selagi anda berusaha, anda tidak lemah. Selagi anda berharap pada Allah dan berdoa kepada-Nya, anda tidak lemah. Allah memberikan kita kekuatan untuk bertahan di muka bumi ini, kenapa kita harus mengiktiraf diri kita lemah? Orang yang kuat mentalnya tidak akan sesekali mengiktiraf dirinya lemah dan mengaku kalah pada masalah yang dihadapinya.

Ingatkah anda pada kalamullah yang disebut dalam kitab-Nya yang agung yang bermaksud :


“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah: 286)

Allah menghadiahkan musibah ke atas hamba-Nya sebagai tanda sayang, kerana Dia tahu hamba-Nya mampu untuk menyelesaikan setiap musibah yang diberikan. Setiap masalah yang ada di muka bumi ini ada jalan penyelesaiannya, jika kita manusia berusaha mencari solusinya. Jika kita enggan menerima musibah daripada Allah, siapakah kita ini? Sedangkan nabi-nabi Allah, termasuk kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W juga menerima musibah yang hebat semasa hayat mereka. Dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu nikmat kehidupan.

Mungkin ada yang berfikir mereka itu nabi, kita ini cuma manusia biasa, mereka tidak sama dengan kita. Pemikiran itu salah sama sekali. Para nabi bukan malaikat. Para nabi juga manusia. Sama diciptakan dari tanah seperti kita yang hidup pada tahun 2013 ini dan tahun-tahun sebelumnya. Yang membezakan kita dengan para nabi ialah mukjizat. Mereka manusia terpilih di sisi Allah.

Kita seharusnya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan merupakan pengikut kepada kekasih Allah yang mulia. Kita mempunyai seorang idol yang cukup tabah ketika hayat baginda S.A.W. Adalah sangat tidak wajar untuk merasa lemah terhadap diri sendiri jika mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa seperti baginda. Kita umatnya dan kita harus mengikut setiap apa yang diajarkan kepada kita.

Merasa lemah bukanlah sesuatu yang ditegah. Dengan merasa lemah, kita tahu di mana taraf kita sebagai manusia di muka bumi ini. Namun, ada sesetengah perkara yang perlu kita titikberatkan untuk sentiasa maju dan tabah dalam kehiduan seharian kita. Ada manusia yang menanggap dirinya sudah tabah dan enggan menitiskan airmata lagi akibat kecewa dengan peristiwa lampau.


Satu contoh yang mana kita harus membuka mata, dengan kelemahan kitalah kita boleh menjadi kuat. Kita merupakan hamba Allah yang paling bertuah di muka bumi ini selagi mana kita ditimpa masalah. Berhenti merasakan diri kita lemah, cuma kita perlu tahu yang kita ada kelemahan dan kelemahan itu adalah sesuatu yang kita boleh atasi dengan usaha dan tawakkal.

Saturday, 6 July 2013

Aku Ingin Menjadi Baik

Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat)
tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, 
dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang 
sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” 
(Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai 
ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak 
berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua 
dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada
 juga yang berubah mengikut peredaran usia dan 
waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari
 kebenaran dan arah tuju hidup.         
                                                                      


KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,

“Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu.”


BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?


HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.


HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.


HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,

“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.”

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Lapangkan Hatimu Dengan Taubat

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?

Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira.. itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.

Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?

                                

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.


Rasulullah S.A.W bersabda :

“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan selawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke Syurga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. [HR. Ahmad]

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di Akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke Neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah.


Menangislah Hari Ini

Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di Akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.

Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita.

Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba.

Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah S.A.W ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah S.A.W menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.

Rasulullah S.A.W pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:


“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. [Sulaiman bin al-Ash'ath, Sunan Abi Daud]

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk Syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan.


Jangan Rasa Selamat
Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?

Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat.

la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

                           


Menyingkap Lembaran Sejarah

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.

Renungilah hakikat ini : Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan Syaitan, yang mana Syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.

Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka.

Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Luth, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.

‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah S.W.T kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
Kaum Nabi Nuh
Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
Firaun dan pengikutnya.
Kaum Nabi Luth.
Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
Kaum Tubba’.

Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad S.A.W. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.

Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu.

Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).

Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?

Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:


“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa.” (Surah al-An’am 6: 44)


Pendosa Tidak Tenteram Jiwanya

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah:

“Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” (Surah Thaha: 24)

Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya:

“Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.“

Hati Yang Bercahaya

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.

Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui selepas Ramadhan nanti, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (Akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

Rindu Cinta Ramadhan

Menanti kehadiran Ramadhan umpama rindu dan kasih yang tak berkesudahan. Ia datang bertamu kembali pada mereka yang merinduinya.. menanti untuk menyayanginya.. menanti untuk berkasih dengannya.. menanti untuk bermadu mesra dengannya..

Kerna Cinta Ramadhan itu, tidak pernah luntur dan padam.. setianya kepada sekalian ummat, membuatkan hati ini terlalu rindu untuk kembali bertemu dengannya.. biar berkali jiwa Ramadhan di sakiti dan dicalari, ia tetap hadir dengan senyuman yang bersinar..





Cinta Ramadhan itu terlalu mendalam.. padamu Ramadhan, ada sesuatu cinta yang tersirat yang sukar untuk di ungkapkan.. Sampaikan salamku pada Ramadhan agar ia sentiasa mengingati, bahawa aku sentiasa menanti kehadirannya..


Oh Ramadhan,
kedatanganmu semakin hampir,
rinduku padamu semakin menggila,
kau bawa seribu kemuliaan tak terhitung jumlahnya,
kau tutupi seribu kemusnahan bencana dunia.

Kini ku sedar, aku harus bersiap siaga,
supaya kemuliaan yang kau bawa, tidak berlalu begitu saja,
Al quran, akan sentiasa ku bawa,
mathurat, tahajud, menjadi bekalan ku yang utama

Bebarapa hari lagi tersisa
bekalan akan ku persiapkan secukupnya
kerana Aku ingin menemuimu penuh cinta
cinta pada yang Maha Esa.