"Nak buat macam mana ni...? saya buat sehabis baik dah..."
"Alaa, kita kan dah usaha... kenapa jadi gitu plak..."
Ya, setelah berusaha dan bertawakkal, maka terimalah ketentuan yang sedang berlaku.
Urusan manusia adalah usaha. Usaha itu sunnatullah.
Takdir pula adalah urusan Allah. Menjadi penentu terakhir. Kedua-duanya sama penting dan sama perlunya di dalam kehidupan.Manusia perlu berusaha, dan takdir Allah yang akan menentukan kata akhirnya.
Imam Ghazali dalam ungkapannya pernah mengatakan, "Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakkal tanpa usaha adalah sia-sia". Tugas manusia adalah berusaha dan berusaha sebelum menyerahkannya kepada Allah. Usaha itu pula hendaklah mematuhi peraturan sunnatullah yang Allah telah tetapkan, iaitu hendaklah seiring jalan syariah yang dibernarkan di dalam Islam.
DApabila disebutkan bahawa,Allah hanya melihat usaha dan tidak kepada hasilnya, maka perlu kita tekankan bahawa usaha itu juga perlulah berkualiti dan secukupnya dari segi kuantiti.
Janganlah sekadar bergantung kepada "aku dah usaha", sebaliknya perlu mencari di mana silapnya semasa kita berusaha,dan seterusnya mengambil langkah memperbaikinya.
Menyalahkan takdir semata-mata,mahupun redha membuta,bukanlah jalannya.
Analoginya jika kita membuat kek, lalu setelah dibakar di dalam ketuhar, kita tidak mendapat hasil yang sepatutnya. Apakah yang kita akan lakukan?
1. Mencari dan menggunakan resepi kek yang lain?
2. Mengubah suai resepi sedia ada?
3. Menggunakan resepi sama buat kali yang seterusnya?
4. Atau mengalah dan berhenti berusaha lantas membiarkannya begitu sahaja?
Pilihan pertama dan kedua merupakan tanda keterbukaan kita dalam pendekatan. Menunjukkan bahawa kita tidak terikat kepada apa-apa selain matlamat yang jelas - contoh: membuat kek.
Pilihan ketiga menggambarkan kita yang mengharapkan hasil yang berbeza, dengan sekadar melakukan usaha yang sama. Ia mungkin dibenarkan untuk sesetengah perkara, namun tidak untuk kebanyakan yang lain.
Pilihan keempat pula menunjukkan seolah-olah kita lebih suka menyalahkan takdir daripada mengkaji usaha diri. Selain tidak menggunakan kegagalan sebagai bahan muhasabah. Lebih suka menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan.
Untuk mendapat hasil yang lain, sama ada hasil yang lebih baik atau sebagainya, maka mulakanlah dengan mencarinya melalui jalan yang berbeza.
Kesimpulannya, perlulah kita sentiasa mengekalkan prinsip kita walau dalam keadaan ingin memperbaiki usaha. Kadang-kadang kita tidak perlu membuat apa-apa perubahan terhadap usaha kita, walaupun kita mahukan hasil yang berbeza. Cuma perlu yakin terhadap prinsip yang tersedia. Jangan berubah!
Dan perlu akur terhadap kaedah umum, bahawa kita hanya mampu merancang, namun jangan kita lupa Allah juga Maha Perancang dan Maha Penentu segalanya.
Kita mentadbir, sedang Allah Pentadbir yang terbaik dan Pentaqdir atas apa yang kita tadbir.
No comments:
Post a Comment